KOTA BHARU, 21 April- Lebih 27,000 daripada 41,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen sudah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) berjumlah RM300.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata, bantuan bulanan itu telah disalurkan sejak September tahun lalu.
Penyaluran bantuan itu tertakluk kepada kriteria tertentu, menyasarkan mereka yang diklasifikasikan sebagai miskin tegar dan berada bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dengan pendapatan bulanan RM1,169 atau kurang.
"Dalam masa Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), kita ada juga bantuan-bantuan lain daripada segi kebajikan kesihatan pendidikan anak anak dan juga skim termasuk perumahan kepada anggota.
"Tetapi ada banyak bantuan sara hidup kepada yang tidak berpencen," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Peringkat Parlimen Kota Bharu di sini.
Adly berkata, pihaknya menyeru mana-mana tentera tidak berpencen berusia 60 tahun ke atas segera mengemaskini data mereka menerusi 'Veteran Integrated Benefit System 2.0' (VIBES 2.0) bagi mengelak tercicir daripada menerima bantuan.