fb fb fb fb fb

Lebih 26,000 unit rumah tidak terjual pada suku kedua 2023 - KPKT

Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR, 15 November- Sebanyak 26,268 unit rumah siap dibina bernilai RM18.3 bilion tidak terjual direkodkan pada suku kedua 2023.

Situasi itu menunjukkan penurunan sebanyak 5.3% daripada segi jumlah unit serta penurunan 0.6% daripada segi nilai berbanding tempoh sama pada 2022.

Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata usaha bagi mengatasi isu itu terus diperkasa menerusi pelaksanaan pemetaan indeks Rumah Mampu Milik (RMM).

"Melaksanakan pemetaan indeks Rumah Mampu Milik (RMM) berdasarkan pendapatan median mengikut negeri dan daerah yang diperoleh daripada tinjauan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2022.

Kaedah ini mengambil kira median pendapatan rakyat mengikut lokaliti berdasarkan kaedah gandaan median (median multiple). Pemetaan ini sebagai panduan kepada pemaju serta agensi penyediaan perumahan bagi menetapkan harga jualan rumah di satu-satu lokaliti," kata Akmal di Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berhubung usaha kerajaan mengatasi isu hartanah tidak terjual.

KPKT turut menggalakkan pemaju untuk melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan sebelum pelaksanaan projek pembangunan.

Selain membangunkan Sistem Analitis Data Raya Perumahan sebagai sumber rujukan berpusat bagi data perumahan bagi menangani isu berkenaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM