Lebih 2,500 sertai Larian MAPPA XX 2025, promosi gaya hidup sihat

BATU KAWAN, 28 Jun – Lebih 2,500 peserta menyertai Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-20 (MAPPA XX 2025) Peringkat Utara yang berlangsung meriah di perkarangan Stadium Batu Kawan, di sini pagi tadi.

Program berkenaan bertujuan memberi kesedaran berkenaan kepentingan menjaga kesihatan khususnya dalam kalangan penjawat awam.

Selain itu, ia turut menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim antara penjawat awam dan masyarakat setempat.

Larian bermula seawal pukul 7.00 pagi dengan dua kategori iaitu 3 kilometer dan 5 kilometer.

Turut menyertai acara ini ialah Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Peserta yang ditemui melahirkan keterujaan dan mengharapkan program berkenaan diteruskan sebagai salah satu inisiatif gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam.

“Memang seronok dapat lari beramai-ramai dengan rakan-rakan kerja. Rasa gembira sangat.

“Penganjuran kali ini memang terbaik. Kalau boleh, buat lagi… kami pun seronok dengan keadaan sekarang ni,” kata Mohd Syafiq Mohd Yusof, salah seorang peserta.

Sementara itu, Mohd Saiful Helmi Mohd Zarif menyifatkan inisiatif seumpama ini memberi peluang kepada penjawat awam untuk memanfaatkan cuti secara sihat dan bermanfaat.

“Bila kerajaan buat ‘Fun Run’ macam ni, sekurang-kurangnya kami ada masa untuk berehat dan luang masa dengan keluarga.

“Alhamdulillah…seronok sangat sebab walaupun cuti, ada juga aktiviti sihat macam ni”, katanya ketika ditemui RTM.

Bagi Mohd Firdaus Somsuddin, program seperti ini bukan sekadar larian biasa, tetapi juga medan untuk berkenalan dan berinteraksi dengan warga jabatan lain.

“Kalau boleh, buat lagi program macam ni. Seronok dapat berkumpul ramai-ramai, dan dapat kenal ramai orang dari jabatan lain juga”, katanya.

MAPPA XX 2025 merupakan platform tahunan dalam memperkukuh kerjasama, semangat kebersamaan dan kesejahteraan dalam kalangan anggota perkhidmatan awam di seluruh negara.