
PAUH PUTRA, 7 Februari – Sepanjang tahun 2025, lebih 210,000 jemaah terdiri daripada pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) direkodkan mengimarahkan dua pusat ibadah utama universiti berkenaan.
- Surau UniMAP Kampus Alam Pauh Putra merekodkan kehadiran melebihi 120,000 jemaah sepanjang 2025.
- Musolla Soodah di Kampus UNICITI Alam mencatatkan lebih 90,000 jemaah untuk solat lima waktu dan Jumaat.
- Pencapaian menunjukkan budaya kerohanian subur dan kesedaran tinggi warga UniMAP tentang keseimbangan rohani dan akademik.
- Keberangkatan Tuanku Raja Muda Perlis menunaikan solat Maghrib dan hadir program Walking Treasure Hunt di UniMAP.
Dua pusat ibadah tersebut ialah Surau UniMAP Kampus Alam Pauh Putra dan Musolla Soodah di Kampus UNICITI Alam Sungai Chuchoh.
Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan UniMAP, Muhamad Adib Hassan, berkata Surau UniMAP Kampus Alam Pauh Putra menjadi tumpuan utama dengan mencatatkan kehadiran melebihi 120,000 jemaah.
Menurut beliau, Musolla Soodah di Kampus UNICITI Alam turut merekodkan tahap pengimarahan yang memberangsangkan apabila mencatatkan kehadiran keseluruhan melebihi 90,000 jemaah bagi solat lima waktu dan solat Jumaat.
“Pencapaian ini mencerminkan suburnya budaya kerohanian serta tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan warga UniMAP terhadap kepentingan keseimbangan antara tuntutan rohani dan kecemerlangan akademik.
“Usaha kolektif ini juga selari dengan aspirasi UniMAP untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, malah berakhlak mulia serta seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek,” katanya.
Beliau memaklumkan perkara itu kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Canselor UniMAP, selepas baginda berkenan berangkat menunaikan solat Maghrib di Surau UniMAP Kampus Alam Pauh Putra.
Keberangkatan baginda adalah bersempena program Walking Treasure Hunt bersama 70 Ketua Jabatan dan Agensi Negeri serta Persekutuan anjuran UniMAP yang berlangsung di Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (PTSFPJ).
Turut berangkat sama ialah Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, Raja Puan Muda Perlis selaku Tuanku Pro Canselor UniMAP.