Lebih 10,000 rakyat pelbagai kaum meriahkan rumah terbuka Ketua Menteri P. Pinang

Chow Kon Yeow

BAYAN BARU, 17 Februari – Pulau Pinang diharapkan terus menjadi negeri contoh teladan dalam memupuk keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum.

RINGKASAN BERITA AI
  • Chow Kon Yeow menyeru Pulau Pinang menjadi contoh memupuk keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum.
  • Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina menyatukan rakyat pelbagai kaum dalam suasana harmoni.
  • Hadirin termasuk pemimpin negeri, wakil rakyat, pemimpin masyarakat dan orang awam.
  • Pengunjung menghargai peluang berjumpa, merapatkan hubungan dan suasana seperti keluarga pelbagai budaya.

Harapan itu dinyatakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bersempena dengan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Setia SPICE Arena dengan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.

Sambutan itu menjadi platform menyatukan rakyat pelbagai kaum dalam satu suasana harmoni selain menjadi tunjang kestabilan sosial di Pulau Pinang.

“Kita ingin membawa semua rakyat ke dalam satu platform untuk saling menggalakkan, memupuk kebersamaan dan perpaduan dalam suasana negara kita.

“Harapan saya, dari segi memupuk perpaduan, keharmonian serta kesejahteraan masyarakat, Negeri Pulau Pinang dapat menjadi tauladan serta contoh yang baik,” katanya pada majlis tersebut.

Majlis berkenaan turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak serta barisan pimpinan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, wakil rakyat, pemimpin masyarakat dan orang awam.

Sementara itu, pengunjung Wong Loy Min yang ditemui menyifatkan program berkenaan sebagai ruang terbaik untuk masyarakat pelbagai bangsa bertemu dan mengeratkan hubungan

“Jadi, kami berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menganjurkan program ini. Sekurang-kurangnya setahun sekali kita dapat berkumpul dan berjumpa, serta pelbagai bangsa dapat bertemu antara satu sama lain,” katanya.

Bagi Sharon Muniandy pula, suasana tersebut seperti melihat mereka sebagai satu keluarga pelbagai budaya.

“Ini kali pertama saya melihat semua perwakilan dan Ketua Menteri Pulau Pinang duduk bersama. Saya rasa gembira melihat mereka seperti satu keluarga, memberi makanan kepada semua termasuk Melayu, Cina, India dan pengunjung lain. Saya lihat suasana itu sangat menggembirakan,” katanya.

Sementara itu Hasbibi Abdul Khadir pula menyatakan kegembiraan kerana dapat menyertai sambutan Tahun Baharu Cina bersama pengunjung pelbagai bangsa.

“Semua kawan-kawan ajak untuk datang, seronok dapat meraikan bersama-sama. Alhamdulillah, makanan pun bagus dan lengkap. Suasana juga aman, tiada sebarang masalah, dan program hari ini berjalan dengan lancar,” katanya.