fb fb fb fb fb

Lebih 100,000 pengunjung nikmati pakej pelancongan percuma di Melaka

Taman warisan ajaib atau Malaysia Heritage Studio antara 10 lokasi pelancongan yang dibuka percuma pada 20 Februari lalu

JALAN JONKER, 23 Februari- Lebih 100,000 pengunjung hadir menikmati pakej pelancongan percuma sempena Hari Ulangtahun Pengisytiharan Kemerdekaan pada 20 Februari lalu.

Kira-kira 50,000 pengunjung pula dicatatkan pada Malam Aneka Warna yang berlangsung pada malam hari sama.

Exco Pelancongan Warisan Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pihaknya akan menjalankan pascanilai dengan semua agensi dan jabatan yang terlibat dalam sambutan itu.

"Insya-Allah, kita akan jadikan (Malam Aneka Warna) program tahunan, lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri Melaka telah mewartakan 20 Februari adalah cuti umum bagi Kerajaan Negeri Melaka.

"Saya juga mengharapkan pihak Kerajaan Persekutuan boleh menyambut apa yang kita lakukan di peringkat negeri Melaka ini," katanya kepada pemberita selepas Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri Melaka di sini malam tadi.

Tambahnya, pelbagai penambahbaikan akan dilaksana di semua lokasi pelancongan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengunjung pada masa akan datang.

SITI AISHAH MD ISA