fb fb fb fb fb

Lebih 10,000 urus niaga berkaitan dokumen pengenalan diri diproses melalu Program MEKAR

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan sijil kewarganegaraan dan surat keputusan kewarganegaraan kepada 12 penerima di Pokok Sena

POKOK SENA, 22 Mac- Sebanyak 10,842 urus niaga terutama berkaitan dokumen pengenalan diri berjaya diproses melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Komuniti, Ihsan, Identiti, Pahlawan dan Diaspora.
 
Ia hasil pelaksanaan 441 Program MEKAR yang dilaksanakan di seluruh negara bermula 1 Januari 2024 hingga 15 Mac lalu.
  
Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam kenyataan berkata pihaknya sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan semua lapisan masyarakat yang layak dapat memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
 
Terbaharu, 12 individu di Pokok Sena, Kedah menerima sijil kewarganegaraan dan surat keputusan kewarganegaraan iaitu melibatkan permohonan bawah Perkara 15A dan Perkara 15 (1), Perlembagaan Persekutuan.
 
Penyerahan disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempena Program MEKAR di Masjid An-Nur, Pokok Sena.
 
Dalam program tersebut, JPN menyediakan perkhidmatan cabutan sijil kelahiran, cabutan sijil kematian, permohonan kad pengenalan kali pertama 12 tahun, dan gentian Kad Pengenalan melalui kemudahan terkini JPN iaitu kaunter bergerak Van MEKAR.
 
Selain menerima dan memproses permohonan secara dalam talian bagi perkhidmatan berkaitan, Van MEKAR dapat memperluaskan perkhidmatan JPN ke lebih banyak lokasi bagi membantu pelanggan yang mempunyai kekangan untuk membuat urusan pendaftaran tanpa perlu hadir ke pejabat JPN.
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE