JOHOR BAHRU, 2 Februari- Lebih 10,000 pengembara direkodkan dalam tempoh sehari yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam di Terminal Bas Larkin Sentral di sini sepanjang musim perayaan Tahun Baru Cina.
Perkara itu susulan terdapat lebih 800 pergerakan bas sehari, menuju ke destinasi masing-masing, bagi tempoh sama.
Penyelia Polis Bantuan Jcorp Sektor Larkin Sentral, Korporal Saberi Ibrahim berkata, kesalahan yang kerap dilakukan penumpang adalah tiba lewat, meskipun mereka perlu berada seawal 30 minit sebelum bas bertolak.
"Nasihat kepada para penumpang agar lebih peka sentiasa mendapatkan maklumat bas berkenaan, tidak tertinggal bas dan sebagainya, manakala bagi para pemandu diingatkan agar sentiasa berhati-hati memandu secara berhemah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Terminal Bas Larkin Sentral di sini.
Dalam pada itu seramai 20 anggota Polis bantuan ditugaskan di lokasi ditetapkan, bagi mengawal pergerakan penumpang dan bas dalam memastikan keselamatan terjamin.