KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Lebih 10,000 pesakit menunggu transplan, meskipun lebih 400,000 rakyat Malaysia kini berikrar sebagai penderma organ demi menyelamatkan lebih banyak nyawa dan memberi harapan kepada ribuan penerima.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, hanya 46 kes pendermaan selepas kematian (kadaverik) direkodkan pada 2024.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), agensi itu menetapkan sekurang-kurangnya 10 penderma per sejuta penduduk (pmp) sebagai standard minimum.
"Malaysia kini sekitar 1.33 pmp, jauh ketinggalan berbanding negara seperti Sepanyol (52.6 pmp) atau Amerika Syarikat (37 pmp). Maka jelas, kita perlu anjakan berani," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ dan Tisu (MKPO) Peringkat Kebangsaan 2025 di ibu negara.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan transformasi Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) kepada Pusat Transplan Nasional (NTC) kini sedang dirangka.
Langkah itu bertujuan bagi memperkukuh ekosistem pendermaan organ negara yang menfokuskan terhadap pemantapan tadbir urus, peningkatan kapasiti, pemerkasaan inovasi selain memperkasa perkhidmatan pendermaan dan transplantasi organ.
"Kita mengambil inspirasi daripada kejayaan negara seperti Sepanyol, Turkiye, dan China, yang berjaya melonjakkan kadar pendermaan organ melalui model kepimpinan nasional yang tersusun, rangka kerja undang-undang yang jelas, serta mobilisasi masyarakat yang menyeluruh," katanya lagi.
Pelaksanaan transformasi itu dilakukan secara berfasa dan pada peringkat awal sesi libat urus bersama pemegang taruh sedang dijalankan.
"Sekarang kita sedang membincangkan tentang keanggotaan, tadbir urus, terma rujukan dan kesemua itu akan kita fokuskan. Tapi kita akan lakukan penambah baikkan, pemerkasaan, untuk kita lihat kembali gerak kerjanya," katanya.