fb fb fb fb fb

Lebih 10,000 penduduk terjejas banjir di tujuh negeri, 67 PPS beroperasi

Situasi banjir di Perlis/ Foto APM

KUALA LUMPUR, 24 November - Seramai 10,575 penduduk terjejas banjir di tujuh negeri ditempatkan di 67 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 9.30 pagi ini.

Negeri terlibat ialah Kelantan, Terengganu, Perak, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), penduduk yang terjejas daripada 3,773 keluarga.

Negeri Kelantan merekodkan jumlah penduduk paling ramai dipindahkan ke PPS iaitu 8,278 orang daripada 3,038 keluarga. Kesemua mereka berlindung di 34 PPS di empat jajahan iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.

Di negeri Terengganu, satu PPS dibuka di Besut dengan menempatkan 282 penduduk daripada 91 keluarga. Manakala di Perak, seramai 964 penduduk daripada 313 keluarga ditempatkan di empat PPS.

Sementara itu, di Kedah, seramai 343 penduduk terjejas banjir daripada 115 keluarga dan ditempatkan di tiga PPS dan negeri Perlis pula mencatatkan 361 penduduk terjejas, melibatkan 130 keluarga yang dipindahkan ke enam PPS.

Selain itu, di Pulau Pinang, seramai 287 penduduk terjejas daripada 68 keluarga yang berlindung di empat PPS dan di Selangor merekodkan 60 penduduk terjejas daripada 18 keluarga di dua PPS.

ROSLINA BINTI DIN