SEREMBAN, 14 Julai- Seramai 1,049 penduduk di Negeri Sembilan menarik nafas lega apabila impian untuk menukar status tanah daripada status hak milik pajakan kepada hak milik kekal direalisasikan.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun, sebanyak 691 permohonan masih dalam proses daripada 1,750 permohonan yang diterima, setakat Julai.
"Saya memohon kepada penduduk agar terus membuat permohonan berkenaan kerana ia memudahkan urusan pada masa akan datang. Kita tidak mahu urusan dibuat di saat akhir, risau tempoh permohonan telah tamat. Masyarakat disaran merebut peluang ini untuk menukar status tanah mereka,' katanya ketika ditemui media pada Majlis Penyerahan Hak Milik bagi Penukaran Status Pajakan Kepada Selama-lamanya (LHFH) dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Bagi Pembayar Cukai Tahun 2023 di Rembau.
Sebelum ini media melaporkan, pelaksanaan inisiatif itu menepati manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, yang juga telah diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan pada 12 dan 19 Jun 2019.
Dalam pada itu, pemilik geran yang ditemui turut menzahirkan rasa syukur dan berharap inisiatif penukaran tempoh pegangan hak milik daripada pajakan kepada hak milik kekal diteruskan di negeri itu.
Menurut pekerja swasta, Ling Ming Chong, kerajaan negeri memudahkan urusan masyarakat di Negeri Sembilan.
"Inisiatif dilakukan di negeri ini memudahkan urusan penduduk. Kita senang, anak-anak juga senang. Harga rumah mahal, anak-anak boleh tinggal di sini," katanya.
Suri rumah, Alizawati Abd Aziz berkata inisiatif tersebut diharap diteruskan pada masa akan datang.
"Alhamdulilah, sebab sebelum ini rumah arwah ayah, sekarang telah menjadi milik sendiri. Saya harap ia diteruskan dan menjadi hak milik kekal untuk penduduk Negeri Sembilan," katanya.
Pesara tentera, Adnan Abdul Ghazi berkata ia satu berita gembira buat semua penduduk terlibat.
"Perasaan ini memang gembira. Dulu kita sewa beli 99 tahun kerajaan boleh ambil bila-bila masa. Sekarang ia menjadi hak kita, hendak jual ke, tetapi elok disimpan untuk anak cucu akan datang," katanya.
(Media melaporkan, pelaksanaan inisiatif itu menepati manifesto Pakatan Harapan (PH)
Negeri Sembilan pada PRU ke-14, juga telah diluluskan Majlis Mesyuarat
Kerajaan Negeri Sembilan pada 12 dan 19 Jun 2019)