fb fb fb fb fb

LCS pertama capai 85% November ini- Mohamed Khaled

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Mac-Kerajaan masih dalam peringkat perbincangan dalam memuktamadkan modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata modul itu masih kekal berasaskan 80% latihan ketenteraan dan 20% lagi kenegaraan. 

"Kita sedang masih berunding, terdapat dua komponen latihan, satu kenegaraan, satu lagi lagi ketenteraan. Kokurikulum kenegaraan dibincang dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebab dalam itu ada elemen perpaduan masyarakat dan sebagainya. Itu kita beri perhatian, kemudian aspek ketenteraan memang akan dibuat Kementerian Pertahanan, tetapi kita masih berunding dan tidak mungkin akan dibuat tahun ini, mungkin tahun depan," katanya dalam Sidang Media di Parlimen di sini.

Tambahnya lagi, pihaknya juga mempertimbangkan penglibatan terutama kepada mereka yang telah tamat sekolah dan mengambil kira penyertaan berdasarkan kriteria umur. 

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata Kapal Tempur Pesisir (LCS) pertama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka siap 85% menjelang November ini.

LCS itu seterusnya perlu menjalani ujian pemasangan sistem dan peralatan, seperti 'Harbour Acceptance Test' dan 'Sea Acceptance Trial' sebelum ditauliahkan pada 2026.

"Walaupun kapal dah siap 85% tapi ia perlu melalui ujian itu kerana ia sebahagian daripada empat elemen kita kata bila semua ini telah dicapai dan dilakukan maka kita jangka kapal pertama LCS ditauliahkan pada 2026 dan kapal-kapal lain pada akhir 2024 ini. Untuk LCS kedua pada 2024 mencapai (78.17%), LCS ketiga (61.48%), LCS keempat (53.40%) dan LCS kelima (44.11%). Maknanya untuk tahun hadapan, kapal-kapal itu akan meningkat peratusan pembinaan, kita lihat pembinaan sedang berjalan sebagaimana yang kita rangka dan rancangkan," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM