
KUALA LUMPUR, 23 Januari – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam perancangan mengadakan lawatan tapak ke Lumut pada 30 Januari depan untuk menilai perkembangan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai susulan kepada prosiding terdahulu berkaitan projek berkenaan.
- PAC merancang lawatan tapak ke Lumut pada 30 Januari untuk menilai perkembangan projek LCS.
- Lawatan membolehkan pemantauan terus perkembangan sebenar di lapangan berbanding laporan bertulis.
- Ini merupakan lawatan kali ketiga; hasil lawatan akan dibawa ke prosiding akan datang.
- PAC mahu bandingkan perancangan rasmi dengan keadaan sebenar proses pembinaan kapal.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia sekali gus membolehkan jawatankuasa itu memantau perkembangan sebenar projek di lapangan, selain menilai maklumat dan laporan yang diterima sebelum ini.
“Selesai sahaja lawatan itu kita akan buat satu lagi prosiding berkenaan dengan LCS. Dalam prosiding ni kita memantau dari masa ke semasa tentang pembinaan kapal LCS dan kami dah lama tak pergi dan melihat sendiri. Sebenarnya ini adalah lawatan kali ketiga dan ada satu lawatan ia turut dihadiri Tan Sri Dr Johari Abdul.
“Jadi Kita ingin tahu perkembangan terkini, dari segi perancangan mungkin cantik laporan yang kita terima, tetapi bila kita nak turun ke lapangan dan melihat sendiri proses berkenaan. Maklumat yang kita dapat itu akan kita bawa dalam prosiding yang akan kita tentukan tarikhnya kelak,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis perasmian Persidangan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen bersama Jawatankuasa Kira-Kira Kerajaan Negeri Se-Malaysia, di ibu negara.
Pada Februari tahun lalu , media melaporkan PAC menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan berterusan projek LCS apabila setakat Disember 2023, projek berkenaan lewat selama 86 hari dengan hanya mencapai 67.28 peratus kemajuan berbanding jadual garis masa baharu yang ditetapkan Kementerian Pertahanan (MINDEF), iaitu 68.77 peratus.