fb fb fb fb fb

Lawatan rasmi ke Timor Leste beri hasil positif - TPM Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi / Foto RTM

TIMOR LESTE, 30 Ogos - Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Republik Demokratik Timor Leste berjaya mencapai hasil yang diharapkan serta membuka peluang untuk mengembangkan kerjasama antara Malaysia dan Timor Leste.

Ahmad Zahid berkata pertemuan bersama Presiden José Ramos Horta, Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmão dan pemimpin lain republik tersebut membincangkan potensi kerjasama dalam pelbagai bidang baharu.

Ini termasuk sektor perumahan, industri halal dan pemerkasaan sektor pelancongan.

“Kita juga dahulu penerima bantuan, nasihat, dan pinjaman luar negara. Kini, selepas 67 tahun merdeka, kita menjadi negara pemberi dan Timor Leste mengalu-alukan bantuan teknikal, pendidikan dan khidmat nasihat dari Malaysia,” katanya.

Beliau mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari di Timor-Leste sejak Rabu lepas.

Selain itu, kejayaan lawatan turut diserlahkan dengan pemeteraian Surat Niat (LoI) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kementerian Pendidikan Tinggi Timor Leste untuk penubuhan pusat Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) baharu di negara tersebut.

“Lebih daripada 300 pelajar Timor Leste kini menuntut di universiti Malaysia, termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan UniKL, serta beberapa universiti swasta lain,” tambah Ahmad Zahid.

Mengakhiri lawatan, Ahmad Zahid turut meminta Halal Development Corporation (HDC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membantu komuniti Islam di Timor Leste menubuhkan badan pensijilan halal sendiri.

Dalam pada itu, Kerajaan Timor Leste menganugerahkan tanah seluas 0.6 hektar kepada Malaysia sebagai simbolik memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook berkata, tanah itu boleh dimanfaatkan untuk membina Kedutaan Malaysia selain digunakan oleh rakyat Malaysia yang berada di sana.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN