fb fb fb fb fb

Lawatan rasmi dua hari ke Thailand capai objektif perkukuh hubungan dua hala - PM

BANGKOK, 10 Februari - Lawatan rasmi selama dua hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Thailand berjaya mencapai objektif utamanya.

Ini meliputi usaha memperkukuh hubungan dua hala Kuala Lumpur-Bangkok khususnya sektor perdagangan dan pelaburan.

Pada lawatan tersebut, empat perjanjian persefahaman (MOU) dalam bidang tenaga dan ekonomi digital dimeterai syarikat kedua-dua negara.

(Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) dalam sidang media sebelum mengakhiri lawatan
rasmi ke Thailand)

"Soal kerjasama dua hala itu penting jadi dunia sekarang ini apa pun kita lakukan, ekonomi itu juga asas mungkin beri peluang pekerjaan, dengan masalah rakyat, itu saya beri tumpuan," kata Datuk Seri Anwar dalam sidang media sebelum mengakhiri lawatan rasmi ke Thailand, di sini.

Turut dilaksana, perbincangan mengenai isu-isu keselamatan.

Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia akan berusaha sebaik mungkin menjalankan peranan sebagai fasilitator ke arah proses damai di Selatan Thailand.

"Perbincangan dengan PM Thailand nampak ada kesediaan. Dulu sentuh ini agak sensitif, tidak boleh sentuh terbuka. Sekarang nampak terbuka, kita bincang dengan baik.

"Tidak boleh selesai peringkat itu sahaja, tentera, polis, ketua agama, masyarakat, pendidikan, NGO, kita rancang supaya sampai ke bawah jaringan itu kuat," katanya.

Media Baharu