DOHA, 15 Mei- Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Qatar ternyata membuka suatu lembaran baru hubungan 50 tahun Malaysia dan Qatar.
Perdana Menteri berkata secara keseluruhannya, lawatan tersebut berjaya mengukuhkan persahabatan yang sedia erat antara kedua-dua negara, selain dapat meningkatkan kerjasama pelbagai bidang.
"Saya dan delegasi Malaysia menamatkan lawatan rasmi di Qatar.
"Saya optimis hubungan baik yang mencapai separuh abad ni akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat kedua-dua negara.
"Salut saya kepada kementerian, agensi kerajaan, pihak kedutaan serta rakan-rakan media yang bersama dalam memastikan lawatan ini berhasil.
Hari terakhir di Doha tertumpu kepada Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024 dan pertemuan bersama Presiden Poland Andrzej Duda.
"Saya juga sempat merasmikan kampus luar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ia juga merupakan Universiti Awam negara yang pertama membuka cawangan di luar", katanya menerusi hantaran di facebook.
Kini, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bishkek, Republik Kyrgyz untuk memulakan lawatan rasmi selama dua hari. Pesawat khas membawa Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Manas pada pukul 10.20 malam tadi waktu tempatan.