fb fb fb fb fb

Larian Bersama Wira Merah di Sekinchan tarik 2,000 peserta

Larian Bersama Wira Merah turut disertai anak-anak Orang Kurang Upaya (OKU) - The Incredible Warrior Club/Foto Facebook Datuk Ng Suee Lim

SABAK BERNAM, 18 Oktober - Larian Bersama Wira Merah Daerah Sabak Bernam bukan sekadar acara riadah, tetapi turut mendedahkan peserta kepada aktiviti kebombaan sambil menikmati keindahan sawah padi menghijau di Sekinchan, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata program julung kali anjuran JBPM Zon 7 Selangor Utara (Sabak Bernam) itu memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman sebenar menggunakan hos dan nozel seperti digunakan anggota bomba dalam operasi pemadaman dan menyelamat.

“Menerusi program ini, kita memberi pembelajaran awam kepada komuniti di samping menggalakkan masyarakat melakukan aktiviti sihat,” katanya kepada RTM selepas menyempurnakan acara berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, penganjuran itu turut mendapat kerjasama erat daripada pelbagai agensi awam dan pihak swasta termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). 

Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara JBPM Selangor, Samsol Maarif Saibani, berkata sambutan amat menggalakkan apabila penyertaan yang diterima melebihi sasaran asal.

“Disebabkan ini penganjuran pertama oleh Bomba Sabak Bernam, kami hanya menyasarkan sekitar 1,000 peserta. Namun, jumlah sebenar yang hadir menyertai Larian Bersama Wira Merah ini dianggarkan mencecah 2,000 orang.

“Larian ini dianjurkan sempena sambutan 20 tahun penubuhan Balai Bomba Sekinchan yang kebetulannya berlangsung ketika musim padi sedang bunting.

"Ini merupakan satu kombinasi menarik yang mana larian santai sambil mempromosi daerah ini sebagai destinasi agropelancongan,” katanya.

Seorang peserta, Nurul Lamin, menyifatkan penganjuran program itu sebagai platform terbaik mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat setempat.

“Selain dapat beriadah, saya lihat program ini turut memperkenalkan keistimewaan Sekinchan kepada orang luar seperti saya,” katanya.

Turut hadir memeriahkan program ialah Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, yang juga Ahli Dewan Negeri Sekinchan serta Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor, Datuk Rizal Ismail.

GRACE AISYAH KEDAYAN