MEMBAKUT, 20 September - Laporan kerosakan prasarana, jalan raya dan cerun akibat bencana banjir di Sabah dijangka akan diperoleh dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, proses penaksiran maklumat berkaitan kerosakan dan anggaran jumlah peruntukan yang diperlukan akan dilaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) di peringkat daerah yang terkesan akibat bencana tersebut.
"Mereka masih lagi membuat penaksiran itu selain masih lagi turun padang dan membuat penilaian. Setakat ini masih belum ada angka yang tepat sebab banjir pun baru selesai.
"Jadi, untuk menaksir kerosakan jalan pada saat ketika ini mungkin tidak tepat. Oleh itu, hendaklah tunggu-tunggu hingga tiga hari lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM pada Gotong-Royong Perdana Pembersihan Pasca Banjir Tadika Kemas Rancangan Mawao, di sini.
Selepas penilaian selesai, jurutera daerah akan menyalurkan laporan kepada JKR di Sabah dan JKR di peringkat kementerian bagi membolehkan keputusan dibuat untuk mendapatkan peruntukan.
"Keperluan membaiki melibatkan tiga perkara utama iaitu jalan raya, cerun dan bangunan awam," katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempercepat penyelarasan proses pembaikan kemudahan asas di lokasi-lokasi terjejas banjir di Sabah.