BISHKEK, 15 Mei - Republik Kyrgyz menyatakan hasrat supaya Malaysia melantik seorang penasihat kepada negara itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasrat itu dinyatakan oleh rakan sejawatannya, Pengerusi Menteri-menteri Kabinet Republik Kyrgyz Akylbek Zhaparov pada pertemuan bersama di Kediaman Negara Ala Archa.
"Dia minta (Akylbek Zhaparov) kalau boleh supaya melantik seorang yang boleh menjadi penasihat kepada kerajaan (Republik Kyrgyz). Itu tahap penghormatan dan pengiktirafan mereka kepada kerajaan Malaysia.
"Maknanya, apabila hendak berunding tentang soal seperti penswastaan, projek-projek hidro, lebuh raya atau penggalian emas umpamanya, mereka minta kalau boleh kita beri nasihat dan (kongsi) pengalaman kita untuk membantu," kata Anwar dalam sidang media sempena lawatan rasminya ke Republik Kyrgyz.
Jelasnya lagi hasrat kerajaan Republik Kyrgyz itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.
Anwar berkata lantikan seorang penasihat itu bukan hanya bersifat hubungan dua hala antara dua negara, tetapi juga memberi peluang kepada pelabur dari Malaysia, memandangkan terdapat pelbagai bidang kerjasama yang sedia diterokai antara kedua-dua negara.