
KUALA LUMPUR, 2 April –Langkah kerajaan mempelbagaikan sumber import minyak dan gas disifatkan sebagai tepat bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara, terutama dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.
- Perlu sokongan peningkatan pengeluaran domestik, simpanan strategik dan pembangunan tenaga boleh baharu.
- Cabaran utama: kos, logistik, tempoh pelaksanaan, rundingan pembekal baharu dan kenaikan kos penghantaran.
- Tidak dijangka menurunkan harga bahan api dalam jangka pendek, kesan bergantung pada dasar subsidi dan turun naik harga global.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Mohd Iqbal Mohd Noor berkata, pendekatan itu mampu mengurangkan kebergantungan kepada sebuah negara pembekal, namun perlu disokong langkah lain bagi masa jangka panjang.
“Usaha berkenaan wajar diperkukuh melalui peningkatan pengeluaran domestik, simpanan strategik dan pembangunan tenaga boleh baharu.
“Selain itu, cabaran utamanya adalah melibatkan kos, logistik dan tempoh pelaksanaan, termasuk keperluan rundingan pembekal baharu dan peningkatan kos penghantaran,” katanya ketika dihubungi RTM.
Terdahulu media melaporkan, kerajaan meneruskan usaha dalam mempelbagaikan sumber tenaga negara, seterusnya berupaya memastikan keterjaminan bekalan untuk kegunaan rakyat.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, usaha itu termasuk mempelbagaikan sumber import minyak dan gas dari pelbagai negara antarabangsa lain.
Dr Mohd Iqbal berkata, strategi tersebut membantu mengurangkan kebergantungan kepada negara tertentu, namun Malaysia masih terdedah kepada turun naik harga tenaga global.
Tambah beliau, daripada sudut pengguna, langkah itu tidak dijangka menurunkan harga bahan api dalam masa terdekat, sebaliknya kesan kepada rakyat bergantung kepada dasar subsidi kerajaan.
“Dalam jangka panjang, langkah ini penting untuk memastikan bekalan tenaga negara lebih stabil dan berdaya tahan,” katanya.