
KUCHING, 6 April – Langkah kerajaan memberi perlindungan kepada perniagaan, terutama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bertujuan memastikan bekalan asas seperti tenaga dan elektrik kekal stabil.
- Jawatankuasa tindakan ekonomi memantau perkembangan global setiap hari dan merangka strategi mitigasi terhadap impak kepada negara.
- Inisiatif penjimatan tenaga dilaksanakan untuk memastikan rizab bekalan minyak negara kekal mencukupi.
- Datuk Seri Fadillah mempengerusikan dua subkomiti termasuk penguatkuasaan, menandakan tumpuan terhadap pelaksanaan dan pemantauan dasar.
- Konflik Asia Barat boleh tingkatkan kos bahan api dan barang; kesan dijangka dalam dua bulan, pemulihan bekalan tenaga mungkin sampai setahun.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah proaktif yang diambil melalui jawatankuasa tindakan ekonomi itu, sekali gus memastikan gangguan terhadap operasi perniagaan dan peluang pekerjaan dapat dielakkan.
Menurut beliau, jawatankuasa tersebut bertanggungjawab memantau perkembangan global secara harian, termasuk menilai impak terhadap negara, di samping merangka strategi mitigasi.
Antara langkah awal yang dilaksanakan adalah inisiatif penjimatan tenaga bagi memastikan rizab bekalan minyak negara kekal mencukupi.
“Saya sendiri mempengerusikan dua subkomiti, satu penguatkuasaan, namun negara kita Alhamdulillah berada di kedudukan yang lebih baik berbanding dengan negara lain di rantau Asia,” katanya.
Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berucap merasmikan Program Jelajah Kongres Jihad Bisnes 2026 anjuran Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) di sini.
Tegasnya, konflik berpanjangan di Asia Barat berpotensi meningkatkan kos bahan api, logistik dan harga barangan yang dijangka mula dirasai dalam tempoh dua bulan apabila stok baharu masuk ke pasaran pada harga lebih tinggi.
Pemulihan bekalan tenaga global boleh mengambil masa sehingga setahun.