
SRI AMAN, 8 Februari – Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dinaikinya bersama isteri terlibat dalam kejadian langgar lari di Kilometer 7, Jalan Sri Aman, awal pagi tadi.
- Lelaki berusia 46 tahun meninggal dunia selepas dirempuh ketika menukar tayar di bahu jalan.
- Isteri mangsa, 36, mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Sri Aman.
- Pemandu kenderaan perlanggar lari belum dikenal pasti dan diminta menyerah diri.
- Saksi atau orang yang ada maklumat diminta hubungi IPD Sri Aman di 083-322121 sambungan 238.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Penguasa Polis Supt Dennis Bunyam berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ranggau Berandak, 46, beralamat di Rumah Evelyn, Ibol, Sungai Raya Undop.
Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi, mengakibatkan mangsa yang memandu kenderaan tersebut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sri Aman, manakala isterinya berusia 36 tahun mengalami cedera parah.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai selesai menukar tayar kenderaan yang pancit di bahu jalan sebelum dirempuh sebuah kenderaan lain yang masih belum dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan media.
Sehubungan itu, beliau menyeru pemandu kenderaan yang terlibat supaya tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.
Orang awam yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman di talian 083-322121 sambungan 238.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.