Laluan utama ke Gua Musang sesak, polis jangka jumlah kenderaan terus meningkat

Foto RTM

GUA MUSANG, 18 Mac -Laluan pintu masuk utama ke Kelantan di daerah Gua Musang semakin sesak berikutan pertambahan kenderaan perantau yang pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis jangka jumlah kenderaan akan terus meningkat sepanjang tempoh pergerakan pulang perantau.
  • Kesesakan tertumpu di laluan sempit serta pintu masuk Kampung Mentara dan sempadan Merapoh, Pahang.
  • Pemantauan dan kawalan trafik akan dipertingkatkan bagi melancarkan pergerakan kenderaan.
  • Perjalanan dari Lembah Klang mengambil masa lebih 12 jam, pemandu guna laluan alternatif atau bertolak awal untuk elak kesesakan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang,Superintendan Sik Choon Foo berkata, berkata pihaknya menjangkakan jumlah kenderaan akan terus meningkat.

Katanya, kesesakan tertumpu di beberapa lokasi termasuk laluan sempit serta pintu masuk di Kampung Mentara dan sempadan Merapoh, Pahang.

Beliau berkata, pemantauan dan kawalan trafik akan dipertingkatkan bagi melancarkan pergerakan kenderaan.

Dalam pada itu, tinjauan RTM mendapati, perjalanan pulang perantau dari Lembah Klang mengambil masa lebih 12 jam berikutan pertambahan jumlah kenderaan di laluan utama.

Situasi itu menyebabkan sesetengah pemandu terpaksa menggunakan laluan alternatif atau berhenti seketika bagi mengelak kesesakan.

“Semasa masuk ke KL semalam, saya rasa kesesakan bermula di Karak, kemudian semakin teruk di lebuh raya menuju ke Gua Musang, khususnya di Mentara.

Selepas itu, aliran trafik agak lancar walaupun laluan daripada dua lorong menjadi satu. Hari ini dan semalam ramai orang mula pulang ke kampung, jadi jumlah kenderaan dijangka akan terus meningkat.

Pagi tadi pun kenderaan sudah banyak. Walaupun ada yang keluar awal untuk mengelakkan kesesakan, jumlah kereta di jalan raya tetap semakin bertambah,” Mohd Yusoff Mohamad.

“Biasanya perjalanan mengambil masa lebih 12 jam, malah pernah mencecah hampir 20 jam. Rasanya setiap tahun memang begitu. Namun, kali ini pergerakan pulang bermula lebih awal kerana ramai yang baru selesai kerja dan terus pulang ke kampung.

“Jika bertolak sebelum pukul 5 pagi, ada yang boleh sampai dalam tempoh sekitar enam jam. Namun, bagi yang bertolak selepas waktu itu, kesesakan biasanya mula berlaku di Tol Gombak dan berlarutan hingga ke Raub, dengan jumlah kenderaan yang sangat banyak,” Nurliayana Zainal Abidin.

“Memulakan perjalanan dari rumah pada pukul 4.30 pagi dan terus pulang tanpa berhenti di mana-mana.

“Setibanya di Mempaga, nampak kesesakan lalu mengambil laluan alternatif melalui Sungai Koyan. Laluan tersebut tidak sesak, namun apabila melalui Padang Tengku menuju ke Gua Musang, kesesakan kembali berlaku,” Wan Habibullah Wan Ibrahim.