JOHOR BAHRU, 25 Jun - Laluan masuk ke Plaza Tol Ayer Hitam ditutup kepada semua kenderaan susulan kejadian tong mengandungi bahan kimia berbahaya dan mudah hakis terjatuh dari sebuah treler petang tadi.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan laluan itu ditutup sementara atas faktor keselamatan oleh pihak bomba selepas kejadian dilaporkan berlaku pada 6.41 petang.
"Status terkini setakat 9.28 malam, laluan masuk ke Plaza Tol Ayer Hitam (masih) ditutup sementara," menurut hantaran itu.
Justeru, PLUS menasihati orang ramai supaya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini melalui laman X plustrafik atau Facebook PLUS Malaysia.- BERNAMA