fb fb fb fb fb

Laluan kontra di KSAB dilaksana minggu depan

Menteri Pengangkutan Anthony Loke meninjau keadaan semasa di KSAB/BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 11 Januari- Laluan kontra bagi kenderaan dari Malaysia ke Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri dilaksana minggu depan. 

Kebenaran itu diberikan Kementerian Pengangkutan (MOT) setelah laluan keluar berkenaan dilengkapi sistem kawalan Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) secara 'mobile' bagi merekodkan kenderaan asing yang keluar dari negara ini melalui pintu masuk sempadan darat berkenaan.  

Sebanyak 48 laluan kontra dengan 24 laluan masuk dan 24 laluan keluar melibatkan 38 kaunter pemeriksaan imigresen di KSAB.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata ini adalah langkah penyelesaian jangka pendek bagi memenuhi keperluan mendesak oleh kerajaan Johor untuk mengaktifkan laluan kontra bagi mengatasi kesesakan kenderaan dari Johor ke singapura.   

"Sebelum kita dapat mengubah apa-apa sistem untuk membenarkan sistem laluan kontra ini secara berkekalan, untuk jangka masa pendek, kita akan meletakkan satu kenderaan yang dilengkapi kamera untuk diletakkan di laluan keluar selepas pelepasan Imigresen.

"Jadi dengan ini data setiap kenderaan yang keluar itu dapat direkodkan. Ini sangat penting sebab masa mereka masuk kita rekodkan data, jadi keluar pun mesti ada data mereka yang diambil", katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja di CIQ KSAB.

Tambahnya, sistem VEP kekal dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya pada akhir tahun ini.

Sementara itu, Kerajaan Johor menyambut baik inisiatif Kementerian Pengangkutan yang memberi lampu hijau bagi mengaktifkan laluan kontra arah keluar dari Malaysia ke Singapura melalui Kompleks Sultan Abu Bakar bermula minggu depan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastuktur Negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata dengan adanya sistem Kawalan Permit Kemasukan Kenderaan Asing secara mobile itu akan mempercepat pengaktifan laluan kontra berkenaan, sekali gus membantu kerajaan negeri mengatasi masalah kesesakan dan melancarkan aliran trafik keluar di KSAB.

"Komitmen untuk jangka masa pendek mengatasi masalah kesesakan di sini, dengan adanya mobile kamera VEP. Jadi 12 kaunter bertentangan boleh digunakan sebagai tambahan kepada 24 kaunter sedia ada. Harapan saya inisiatif ini akan dapat melancarkan lagi aliran trafik di Linkedua ini", katanya.

ROSLINA BINTI DIN