TANJUNG RHU, 18 Februari- Lembaga Pembangunan Langkawi, LADA akan meluaskan libat urus dan kerjasama strategik bersama syarikat penerbangan bagi meningkatkan penerbangan ke Langkawi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Haslina Abdul Hamid, usaha tersebut bukan sahaja bagi mempromosi pulau legenda itu tetapi juga mempertingkat pelancongan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran, MICE.
"Ada banyak penerbangan masuk ke Langkawi, baik yang datang secara sewaan dan juga penerbangan yang dijadualkan.
"Di sini (Langkawi) ada banyak acara tahunan, Ironman pada hujung tahun, LIMA, dua tahun sekali dan ada banyak program MICE yang akan kita bawa ke Langkawi,"katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Sandbar Walk 2024 di Tanjung Rhu, Langkawi.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu LADA dalam usaha untuk mempromosi tarikan terbaharunya, Eagle's Nest Skywalk bertempat di Langkawi SkyCab yang dijangka dibuka kepada pengunjung hujung bulan ini.
Menerusi tarikan terbaharu ini, LADA mengunjurkan pengunjung seramai 950,000 ke Langkawi SkyCab pada 2024.