fb fb fb fb fb

LADA giat promosi Langkawi di mata dunia

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 16 Mac- Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) giat mempromosi Langkawi menerusi pelbagai acara antarabangsa dalam meluaskan jangkauan globalnya.

Menerusi kenyataan, lembaga pelancongan itu memberitahu, antara acara tersebut termasuk aktiviti, ekspo dan kerjasama yang dikendalikan di Amsterdam dan Berlin.

Bagi acara di Amsterdam, LADA menjadi tuan rumah kepada kira-kira 40 agensi pelancongan di seminar dan bengkel berkaitan produk Langkawi pada 1 Mac 2024.

Di Berlin pula, LADA menghadiri Pameran Perdagangan Pelancongan Antarabangsa Berlin 2024 (ITB Berlin) yang berlangsung dari 5 hingga 7 Mac 2024.

Di samping itu, pihak LADA turut mengadakan
perbincangan konstruktif dengan agensi pelancongan ITAKA di Poland untuk memuktamadkan satu siri penerbangan sewa khas ke Langkawi yang dijadualkan pada suku keempat tahun 2024.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Haslina Abdul Hamid, acara tersebut sebagai platform mempamerkan keindahan alam semula jadi Langkawi.

Tambah Datuk Haslina, pihaknya mahu menarik perhatian global dan memupuk kerjasama yang akan menyumbang kepada pertumbuhan pulau di utara tanah air itu, secara tidak langsung kepada sektor pelancongan negara.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM