LABUAN, 21 Januari- Penyasaran sifar kes dadah di Labuan menjadi fokus utama sekali gus menjadikan wilayah itu berkembang maju dan sejahtera.
Langkah itu dipertingkat merangkumi segi pembangunan fizikal dan pembangunan insaniah, diperkukuh dengan usaha memerangi penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat pulau itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail berkata kerjasama pelbagai pihak terutama agensi penguatkuasaan memainkan peranan penting untuk mencapai matlamat tersebut.
"Hasrat kerajaan adalah untuk menjadikan Labuan sebagai wilayah sejahtera dan juga bandar selamat. Maka, jadi satu fokus kepada kita dan insya-Allah Perbadanan Labuan akan sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak."
"Matlamat kita juga untuk memastikan warga Labuan itu bersih daripada najis dadah," kata Rithuan kepada pemberita selepas merasmikan bengkel pemerkasaan komuniti bagi mencegah penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial, anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).
Sementara itu, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Datuk Seri Ayub Yaakob menyambut baik hasrat itu untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan.
"Ia tidak mustahil untuk kita adakan kerjasama di Labuan ini. Melalui usaha itu kita juga dapat menjadikan Labuan sebagai model contoh," jelas Datuk Seri Ayub kepada pemberita.