fb fb fb fb fb

Labuan FSA komited pelihara integriti sebagai pengawal selia

Foto hiasan

LABUAN, 17 Ogos- Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) komited memastikan semua perniagaan yang dibenarkan beroperasi di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) adalah tulen, sah dan mematuhi undang-undang.

Perkara itu bagi memerangi pengubahan wang haram dan kesalahan pembiayaan keganasan kerana Malaysia adalah ahli Kumpulan Asia/Pasifik mengenai Pengubahan Wang Haram (APG) dan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF).

"Justeru, peraturan ketat ke atas semua aktiviti perniagaan dikenakan untuk memastikan pentadbiran pada tahap terbaik. Ini diperkukuh dengan larangan jelas transaksi tunai di Pusat itu.

"Entiti Labuan sebagai institusi pelapor, diberi mandat melaksana keperluan Kenali Pelanggan Anda (KYC) dan meningkatkan Pelaporan Transaksi Mencurigakan (STR) di bawah Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Labuan IBFC aktif bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pihaknya juga tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan peraturan Labuan IBFC.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI