JOHOR BAHRU, 30 November - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menjalinkan libat urus bersama-sama pihak-pihak berkepentingan bagi mengenal pasti tanah berpotensi untuk dibangunkan kediaman mandiri dalam inisiatif Pembangunan Tanah Wakaf.
Ia melibatkan Majlis-majlis Agama Islam Negeri dari seluruh negara, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) serta Yayasan Wakaf Malaysia dengan membabitkan peruntukan RM300 juta.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin projek tersebut dapat menyokong keterjaminan sosial dan ekonomi golongan warga emas selain memaksimumkan penggunaan tanah wakaf sedia ada.
"Inisiatif ini juga selari dengan program GEAR-uP yang diterajui Kementerian Kewangan untuk menaikkan lantai darjat hidup rakyat dan bersesuaian dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk terus mendukung kesejahteraan para pesara," kata Anwar.
Teks ucapan Perdana Menteri disampaikan Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semasa Karnival Mypesara KWAP 2024, di sini.
Tahun lalu, saiz dana KWAP meningkat kepada RM169.8 bilion dengan pertumbuhan sebanyak 7.4 peratus.
Pencapaian tersebut, mencerminkan dedikasi KWAP dalam menguruskan dana serta memaksimakan pulangan pelaburan, seterusnya menyokong Kerajaan Madani menguruskan liabiliti pencen masa depan.
Dalam pada itu Anwar berkata, Malaysia perlu memanfaatkan potensi golongan pesara bagi memastikan golongan itu terus berdaya saing dan berdaya maju, pada zaman kini.
Beliau menggalakkan pihak berkaitan, berganding bahu, membangunkan ekonomi perak, atau `silver economy’, bagi memperkasa golongan pesara.
Antara usaha lain, adalah meneruskan inisiatif berpaksikan kesejahteraan sosial dan pembangunan mampan dalam kalangan golongan pesara.
"Kita perlu memanfaatkan potensi golongan pesara, yang bukan sahaja memiliki pengalaman yang luas dan kebijaksanaan yang luhur, tetapi juga mempunyai peranan penting dalam memperkasakan pembangunan masyarakat dan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.
Perubahan demografi umur dijangka akan memberi cabaran besar kepada Malaysia, didorong jangkaan negara akan menghampiri status menua pada 2030.
Namun, cabaran tersebut juga membuka peluang bagi kerajaan untuk merangka strategi tatakelola lebih efektif dan mampan, demi masa depan lebih baik.