KAHERAH, 12 November- Pelajar Malaysia yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar Al-Sharif perlu mengikuti kursus intensif Bahasa Arab bagi memastikan penguasaan bahasa lebih baik.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelaksanaan itu akan dilakukan pada awal 2025 melalui Institut Bahasa Arab di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Kelmarin usul berkenaan dipersetujui bersama-sama Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammmad Ahmad At-Tayyeb, ketika pertemuan di universiti itu.
Perkara itu dilihat akan memantapkan mutu penguasaan Bahasa Arab dalam kalangan pelajar Malaysia sebelum melanjutkan pengajian.
"Pelajar-pelajar lain, golongan profesional akan memanfaatkan kemudahan itu dengan kos yang sangat rendah kerana kerajaan Malaysia akan menyediakan tempat dan Universiti Al-Azhar Al-Sharif akan menyediakan profesor dan pensyarah atas biayaan mereka.
"Jadi ini akan beri manfaat sangat tinggi kepada kita dan menunjukkan keyakinan Universiti Al-Azhar secara keseluruhannya," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media di sini selepas menamatkan lawatan rasmi di Mesir.
Bagaimanapun kursus berkenaan tidak diwajibkan, namun pelajar Malaysia yang menjalani kursus berkenaan akan diberikan markah tambahan sebelum melanjutkan pelajaran.