fb fb fb fb fb

Kunjungan Sheikh Al-Azhar perkasa pendidikan tahfiz negara

KunjunganSheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb (dua kanan) ke Darul Quran JAKIM hari ini

KUALA KUBU BHARU, 3 Julai- Kunjungan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb ke Malaysia membuka dimensi baharu kepada pemerkasaan serta perkembangan pendidikan tahfiz dan Al-Quran di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, kunjungan Sheikh Al-Azhar khususnya ke Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diharap membuka peluang lebih luas kepada graduan institusi itu untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

"Ini membuka peluang yang lebih luas kepada para graduan Darul Quran JAKIM untuk melanjutkan pengajian bukan sahaja di Maahad Qiraat Shoubra, Mesir tetapi juga dalam bidang-bidang lain di Universiti Al-Azhar," katanya ketika berucap pada majlis lawatan kerja Sheikh Al-Azhar itu ke Darul Quran Jakim) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff dan Pengetua Darul Quran Mohd Ansarullah Mohd Hashim.

Menurut Mohd Na’im, Kerajaan Malaysia terus komited memperkasakan pendidikan tahfiz dan al-Quran menerusi pelbagai institusi swasta dan kerajaan termasuk penubuhan Darul Quran sebagai institusi pengajian al-Quran dan Qiraat.

Sejak penubuhannya pada 1966, Darul Quran telah memainkan peranan besar dalam pendidikan tahfiz di negara ini.

"Sehingga kini bilangan graduan Darul Quran mencapai lebih daripada 11,000 orang yang memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian ummah serta pada masa sama menggalakkan perkembangan pendidikan tahfiz dalam negara," katanya lagi.

Tambah Mohd Na'im, di peringkat pengajian tinggi juga telah diperkenalkan bidang tahfiz sebagai salah satu bidang pengajian dan sebagai nilai tambah bagi bidang-bidang profesional yang ditawarkan.

SITI AISHAH MD ISA