fb fb fb fb fb

Kumpulan keempat MALBATT 850-12 berlepas ke Lubnan

Foto FB MINDEF

SUBANG, 18 November- Kumpulan keempat kontinjen Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 berlepas hari ini, dari Pangkalan Udara Subang bagi misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).

Kontinjen yang diketuai oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Firdaus Shah Budin terdiri daripada tujuh pegawai dan 202 anggota lain-lain pangkat.

Majlis penghantaran yang berlangsung di Hangar 16 Skuadron itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan berkata penghantaran kontinjen itu adalah bagi penugasan misi UNIFIL susulan pasukan MALBATT 850-11 yang tamat menjalankan tugas di Lubnan.

Pertukaran itu juga selaras dengan ketetapan Force Commander Pasukan UNIFIL yang turut membabitkan semua negara yang menyertai misi tersebut dengan mengambil kira semua faktor dan situasi semasa.

Pergerakan MALBATT 850-12 dilaksanakan secara berperingkat sejak 6 November lepas dengan kekuatan keseluruhan seramai 854 anggota termasuk 30 daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM