fb fb fb fb fb

Kulim, Bandar Baharu dilanda banjir kilat susulan hujan lebat lebih dua jam

BANDAR BAHARU, 6 Februari - Dua daerah di Kedah iaitu Kulim dan Bandar Baharu dilanda banjir kilat susulan hujan lebat lebih dua jam, petang tadi.

Ia menyebabkan satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Menengah Agama Madrasah Insaniah Jangkang, Kulim.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad menerusi kenyataan memaklumkan setakat pukul 6 petang tadi sejumlah 25 buah rumah terjejas.

Paras air banjir setinggi satu meter dicatatkan dan dikhuatiri semakin tinggi berikutan tebing Sungai Kob pecah.

Keadaan itu juga menyebabkan air di Sungai Limau meningkat ke paras bahaya.

(Anggota APM Kulim membuat tinjauan paras air susulan banjir kilat yang berlaku petang tadi) 

Setakat ini kerja-kerja memindahkan penduduk terjejas ke PPS sedang giat dijalankan.

Sementara itu di Bandar Baharu, tiga buah kampung terjejas akibat banjir kilat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata kampung yang terbabit adalah Kampung Seribu Relong, Kampung Sungai Itam Dalam dan Kampung Sungai Terap Dalam yang mula dinaiki air pada pukul 3.18 petang dengan paras air setinggi 0.5 meter.

Setakat pukul 6 petang tadi, banjir menunjukkan trend penurunan.

Bagaimana pun paras air Sungai Terungsing yang terletak berdekatan kampung terbabit berada paras bahaya dan mengalir deras.

Media Baharu