Kuasai kemahiran teknikal rentas bidang

Adam Mukhriz (kiri) juara pertandingan pemasangan elektrikal peringkat kebangsaan.

KANGAR, 18 Januari – Walaupun bukan dari bidang elektrik, seorang pelajar penyenggaraan mekanikal mencipta kejutan apabila muncul juara pertandingan pemasangan elektrikal peringkat kebangsaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelajar mekanikal menjuarai pertandingan elektrikal peringkat kebangsaan menunjukkan kebolehan rentas bidang.
  • Keputusan dicapai melalui latihan intensif dan berterusan bersama pensyarah.
  • Disiplin tinggi dan komitmen, termasuk kehadiran awal, menyumbang kepada kejayaan.
  • Kejayaan membuka peluang wakili institusi ke WorldSkills Malaysia Belia.

Kejayaan itu diraih Adam Mukhriz Mazdee Ramzimee pada Karnival T-VET MADANI @ Kolej KEDA, baru-baru ini.

Beliau berjaya menewaskan peserta daripada bidang elektrikal yang mewakili pelbagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (T-VET) dari seluruh negara.

Kejayaan pelajar semester dua Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) kampus Kangar itu membuktikan keupayaan pelajar menguasai kemahiran teknikal merentas bidang.

Menurut Adam Mukhriz, kejayaan tersebut muncul hasil latihan intensif dan berterusan bersama pensyarahnya.

“Resepi kejayaan ini adalah usaha siang dan malam bersama pensyarah saya. Kami berlatih tanpa henti sehingga berbulan-bulan,” katanya.

Menurut, kejayaannya turut membuktikan bahawa kemahiran teknikal boleh dikuasai merentas disiplin dengan latihan berterusan serta tahap disiplin yang tinggi.

Sementara itu, pensyarahnya, Muhamamd Alim Nulhakim menyifatkan Adam Mukhriz beliau seorang pelajar yang cekap, rajin dan sentiasa memberikan komitmen tinggi sepanjang sesi latihan.

“Adam juga memahami dengan jelas apa yang perlu dilakukan. Dia seorang pelajar yang cepat belajar. Setiap kali diberi tunjuk ajar, dia akan faham dengan pantas. Selain itu, Adam sentiasa hadir awal. Jika latihan bermula pukul 8 pagi, dia sudah berada di sini seawal 7.30 pagi,” katanya.

ADTEC JTM Kampus Kangar berharap kejayaan tersebut dapat membuka laluan kepada Adam Mukhriz untuk mewakili institusi itu pada pertandingan WorldSkills Malaysia Belia yang dijadual tahun hadapan.

Usaha berkenaan selaras dengan matlamat melahirkan tenaga mahir bertaraf antarabangsa.