fb fb fb fb fb

Kuasa veto halang harapan Palestin

Letupan berlaku di salah satu bangunan Universiti Islam Gaza di bandar Gaza/ AFP

KUALA LUMPUR, 15 September - Harapan untuk menamatkan konflik Israel-Palestin dilihat samar, selagi kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) terus digunakan untuk melindungi kepentingan kuasa besar.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Amer Fawwaz Mohamad Yasid menyifatkan sistem tersebut sebagai penghalang terbesar kepada penyelesaian jangka panjang krisis kemanusiaan itu.

Beliau berpandangan realistik bahawa selagi pertelagahan bersenjata tidak dihentikan secara total, sebarang usaha bantuan dan pembinaan semula akan terus sia-sia.

"Saya rasa, adakah peluang untuk menamatkan konflik bersenjata ini...? Ada. Tetapi adakah ia akan berakhir dalam tempoh terdekat...? Tidak,sebab seperti yang saya katakan tadi, selagi mana masih berlaku pertelingkahan bersenjata antara Israel dan Palestin.

"Kita bina, hantar bantuan, usahakan pembinaan semula Gaza - bina hospital, bina sekolah, pusat bantuan makanan - tetapi apabila siap dibina, ia dimusnahkan semula. TIndakan kejam itu berterusan dengan cara sama.

"Jadi, selagi keamanan tidak tercapai di rantau tersebut, selagi itulah saya rasa konflik ini tidak akan dapat dihentikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media.

Dalam pada itu, tanggungjawab moral untuk menghentikan penindasan terhadap rakyat Palestin terletak sepenuhnya di bahu masyarakat antarabangsa, namun PBB seakan gagal memainkan peranannya akibat kekangan sistemik.

"Adalah menjadi tanggungjawab komuniti antarabangsa, terutamanya Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), untuk menguatkuasakan keputusan dan memberikan kata putus kepada Israel — STOP.

"Namun, masalah utama adalah kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB. Apabila wujudnya kuasa veto, segala usaha menjadi tergendala. Segala apa yang kita ingin lakukan untuk mewujudkan keamanan di Gaza dan Palestin tergendala akibat kuasa veto ini," katanya lagi.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila membandingkan konflik Palestin yang telah berlarutan lebih 67 tahun dengan konflik global lain yang telah lama diselesaikan.

Sehubungan itu, Dr. Amer menyeru komuniti dunia agar menghentikan sikap berdiam diri dan mula bertindak secara kolektif untuk memberi tekanan politik serta moral kepada PBB supaya tidak terus tunduk kepada veto kuasa besar.

"Satu dunia ini perlu memberikan — atau sekurang-kurangnya cuba memberikan — tekanan kepada PBB supaya buka mata.

"Kalau kita lihat, tempoh Perang Dunia Kedua pun sebenarnya hanya berlangsung dari 1940 hingga 1945 — lima tahun. Perang Dunia Pertama pula dari 1914 hingga 1918 — empat tahun. Tapi konflik Palestin-Israel ini, dari 1948 hingga 2025 — dah hampir 67 tahun, masih tiada penyelesaian.

"Perang Dunia Kedua boleh selesai, Perang Vietnam pun boleh selesai, Perang Afghanistan pun boleh selesai... Jadi kenapa perang Israel-Palestin atau konflik bersenjata ini masih belum dapat diselesaikan?

"Yang saya hairan, konflik di Bosnia-Herzegovina dari 1990 hingga 1998 pun boleh selesai. Tapi konflik Israel-Palestin masih berlarutan sehingga ke hari ini," bidasnya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI