KTMB tawar tambang komuter percuma dua hari sempena Thaipusam

Foto fail / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Januari -Pengguna perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menikmati tambang percuma di Lembah Klang selama dua hari sempena Thaipusam.

RINGKASAN BERITA AI
  • KTMB tawar tambang komuter percuma Lembah Klang selama dua hari sempena Thaipusam.
  • KTM Komuter beroperasi 24 jam selama empat hari tiga malam mulai 30 Jan hingga 2 Feb 2026.
  • 609 perjalanan tren khas disediakan; sasaran 700,000 penumpang ke Batu Caves.
  • 28 stesen buka 24 jam dengan kawalan keselamatan ditingkat dan bantuan untuk warga emas serta OKU.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkhidmatan percuma itu disediakan selama 48 jam bermula 12 tengah malam 31 Januari (Sabtu) hingga 11.59 malam 1 Februari (Ahad).

Menurut beliau, inisiatif itu bakal memanfaatkan kira-kira 2.5 juta pengunjung Batu Caves sempena perayaan tersebut.

Selain itu, perkhidmatan KTM Komuter akan beroperasi 24 jam selama empat hari tiga malam, bermula 30 Januari hingga 2 Februari 2026, bagi memastikan kelancaran pergerakan pengunjung.

“Sebanyak 609 perjalanan tren khas akan disediakan sepanjang tempoh tersebut. Sasaran 700,000 penumpang dijangka menggunakan rel sebagai mod pengangkutan utama ke Batu Caves.

Langkah ini bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memastikan perjalanan lebih selamat serta teratur,” katanya dalam sidang media di sini.

Tambah beliau 28 stesen KTMB akan beroperasi 24 jam sepenuhnya, disokong kawalan keselamatan dipertingkat serta penambahan petugas bagi membantu warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Dalam pada itu, perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) turut ditambah melibatkan laluan JB Sentral–Butterworth, JB Sentral–KL Sentral, KL Sentral–Ipoh dan KL Sentral–Butterworth.

“Perkhidmatan ETS tambahan sempena Thaipusam ini beroperasi dari 29 Januari hingga 3 Februari 2026, dengan 10,080 tiket ditawarkan dan jualan bermula 26 Januari 2026,” ujarnya lagi.