KUALA LUMPUR, 1 November - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan beralih kepada mod tanpa tunai sepenuhnya bermula 1 Januari 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, ia melibatkan sektor Lembah Klang, Utara dan Selatan serta Pantai Timur.
"Inisiatif ini bertujuan untuk membentuk masyarakat yang lebih cekap, berdaya saing, dan selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah digitalisasi.
"Selain itu, inisiatif ini adalah bagi menyokong usaha kepimpinan negara untuk memangkin transformasi Malaysia kepada sebuah ekonomi digital yang berdaya saing termasuklah transformasi kepada cashless society," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, KTMB kini dalam fasa peralihan sehingga akhir tahun ini bagi memberi pendedahan serta kesedaran kepada orang ramai khususnya warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) sebelum ianya dilaksanakan sepenuhnya pada tahun depan.
Beliau berharap kumpulan sasaran ini akan menjadi mahir dalam penggunaan pembayaran tanpa tunai.
“Dalam tempoh peralihan ini, kaunter-kaunter tiket masih menerima transaksi tunai, namun, apabila inisiatif ini dilaksanakan kelak, semua transaksi akan dilakukan secara tanpa tunai.
“Selain itu, kakitangan barisan hadapan di stesen juga akan membantu pelanggan, khususnya untuk mendaftar Aplikasi KTMB Mobile (KITS), membuat pembelian tiket melalui KITS atau mesin kios tiket dan mendaftar atau menggunakan kad Komuter Link,” katanya.
Katanya, kempen diperluaskan melalui pelbagai medium, termasuk notis dan video di media sosial KTMB, edaran bahan promosi di stesen, pengumuman dalam tren, dan kerjasama dengan bank tempatan.
"Ini termasuk untuk membuka reruai pendaftaran akaun di stesen terpilih bagi yang belum memiliki kad debit," katanya.
Menurut beliau, sebanyak 500 mata railpoints percuma untuk 1,000 pendaftaran KITS terawal akan diberikan kepada mereka yang mendaftar.
KTM Komuter juga bakal mengedarkan 1,000 kad Komuter Link secara percuma.
Statistik menunjukkan 82 peratus penumpang menggunakan pembayaran dalam talian untuk perkhidmatan ETS dan Shuttle Tebrau melalui KITS, manakala 71 peratus memilih pembayaran tanpa tunai bagi perkhidmatan KTM Komuter di Lembah Klang dan Utara.
"KTMB kini memiliki lebih 3 juta akaun berdaftar untuk pembelian tiket ETS, KTM Intercity, Shuttle Tebrau, dan KTM Komuter," katanya.