GEORGE TOWN, 29 Julai - Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, hari ini menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Datuk Seri, bersempena Ulang Tahun Keputeraan ke-84 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Penganugerah itu disampaikan dalam Istiadat Darjah Kebesaran Negeri Pulau Pinang 2025 di Dewan Sri Pinang, sebagai penghargaan atas sumbangan beliau dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam dan dasar komunikasi negara.
Datuk Seri Mohamad Fauzi, 57 tahun, sebelum ini pernah menyandang pelbagai jawatan penting termasuk di Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri sebelum dilantik sebagai KSU Kementerian Komunikasi pada Mei 2023.
Beliau juga pernah menerima pelbagai pengiktirafan seperti Ahli Mangku Negara (AMN), Setia Diraja Kedah (SDK) dan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM).
Hari ketiga istiadat itu turut menyaksikan seramai 389 individu lain menerima darjah dan pingat negeri.