fb fb fb fb fb

KSKK bantu penagih keluar daripada belenggu dadah

Program Kelompok Sokongan Kepulihan Keluarga (KSKK) bermatlamat mengekalkan kepulihan dengan sokongan berterusan

KANGAR, 25 Ogos - Cawangan Rawatan, Perubatan dan Pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis melaksanakan Program Kelompok Sokongan Kepulihan Keluarga (KSKK).

Program bertemakan 'Klien Merdeka Keluarga Sejahtera' itu melibatkan 210 klien bersama-sama keluarga dilaksanakan bersempena Bulan Kemerdekaan di Denai Larian Pengkalan Asam, di sini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Negeri Seruandi Saad dalam kenyataan berkata, program tersebut merupakan salah satu strategi bawah Transformasi Rawatan Dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) yang menyasarkan klien-klien komuniti dan keluarga, bermatlamat mengekalkan kepulihan dengan sokongan berterusan.
 
"Program yang dilaksanakan berkonsepkan Hari Keluarga Klien Komuniti ini untuk mengukuhkan dan mengharmonikan hubungan kekeluargaan melibatkan pelbagai aktiviti.

"Antaranya senamrobik daripada Jabatan Belia dan Sukan, acara sukaneka klien bersama keluarga dan anak-anak, kibar Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan serta cabutan bertuah kepada para peserta," kata Seruandi.
 
Beliau bercakap pada Program Kelompok Sokongan Kepulihan Keluarga bersama AADK, di sini.
 
Penerapan semangat patriotisme mendepani perjuangan kepulihan, AADK menyasarkan klien bebas daripada belenggu dadah serta menikmati erti kemerdekaan diri.

"Seterusnya menghargai dan memandang tinggi pengorbanan keluarga kerana tanpa mereka apa yang dinikmati hari ini tidak mampu dikecapi," katanya menerusi kenyataan itu.

TETITIA YUSOFF