PONTIAN, 19 Februari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang kru kapal dagang warga India yang dipercayai terjatuh ke dalam laut di perairan negara di sini pada Isnin lalu.
Pemangku Pengarah Maritim Johor Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata insiden itu dilaporkan berlaku pada kedudukan 1.4 batu nautika tenggara Tanjung Bin ketika kapal berdaftar dari Kepulauan Marshall tersebut berlepas dari Pelabuhan Tanjung Pelepas menuju Singapura.
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Sandeep, 36 tahun, kali terakhir dilihat pada pukul 7.30 malam hari kejadian dengan berpakaian berwarna jingga.
Kama menambah, operasi pencarian tertumpu di sekitar perairan Tanjung Bin membabitkan 44 pegawai serta lima aset laut dan lima aset darat Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta agensi berkaitan.
Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya turut menghubungi Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia serta pihak berkuasa Singapura bagi mendapatkan kerjasama dalam usaha pencarian mangsa.