
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Konflik ketenteraan melibatkan Iran dan Amerika Syarikat serta rejim Israel kini bukan lagi sekadar krisis serantau, malah berisiko memberi impak ekonomi besar terhadap rakyat Malaysia.
- Ketegangan geopolitik dijangka melambungkan harga tenaga dan barangan keperluan, membebankan kuasa beli pengguna tempatan.
- Kenaikan harga tenaga mengekang kemampuan kerajaan mengekalkan subsidi, menjejaskan sokongan kepada golongan berpendapatan rendah.
- Kerajaan mungkin perlu pilih antara menaikkan cukai atau mengurangkan peruntukan untuk kesihatan dan pendidikan.
- Konflik berkekalan menggugat pertumbuhan global, memacu inflasi dan menurunkan pendapatan rakyat; rakyat mesti bersedia dengan langkah berjaga-jaga ekonomi.
Penasihat Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah, Profesor Jomo Kwame Sundaram dalam satu hantaran di media sosial berkata, ketegangan geopolitik itu dijangka mencetuskan lonjakan harga barangan keperluan harian, terutamanya produk berasaskan sumber tenaga seperti petroleum dan gas asli, dalam masa terdekat.
“Harga tenaga global yang melambung tinggi akan menyukarkan kerajaan untuk mengekalkan pemberian subsidi secara berterusan bagi melindungi kuasa beli pengguna tempatan,
“Kerajaan kini berdepan dilema sama ada terpaksa meningkatkan kadar cukai atau mengurangkan peruntukan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan bagi mengimbangi bajet negara,” tambahnya.
Beliau turut menekankan, situasi akan bertambah parah sekiranya konflik berkenaan berlarutan, sekali gus membantutkan pertumbuhan ekonomi dunia serta berisiko menurunkan pendapatan rakyat akibat tekanan inflasi yang kian meruncing.
Trend peperangan yang semakin meningkat turut menunjukkan ketiadaan tokoh negarawan yang berani menuntut perdamaian sejagat bagi menghentikan pertumpahan darah yang sia-sia.
Dunia kini dilihat lebih cenderung kepada konflik bersenjata, menyebabkan rakyat terpaksa menanggung impaknya, termasuk beban kos sara hidup yang semakin mencabar akibat ketidakstabilan politik antarabangsa.
Ketidaktentuan ini memerlukan rakyat Malaysia lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan krisis ekonomi sekiranya rundingan damai antara kuasa besar gagal mencapai kata sepakat dalam masa terdekat.