
KUCHING, 8 Mac – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti tindakan susulan terhadap remaja bawah umur yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan berunsurkan ideologi kumpulan pengganas Daesh.
- Pendekatan pemulihan amat penting bagi remaja bawah umur, selari undang-undang perlindungan kanak-kanak serta menghormati proses siasatan polis.
- Kes akan ditangani mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Kanak-Kanak 2001.
- Enam remaja ditahan, termasuk tiga bawah umur; tangkapan di Lembah Klang, Johor, Terengganu dan Kedah melalui operasi khas PDRM.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pendekatan pemulihan amat penting bagi remaja bawah umur, selaras dengan undang-undang perlindungan kanak-kanak, sambil memastikan proses siasatan polis dihormati sepenuhnya.
Jelas beliau, kes berkenaan akan ditangani mengikut peruntukan undang-undang sedia ada
termasuk Akta Kanak-Kanak 2001.
“Memang kita mempunyai pelbagai cara untuk membantu, cuma belum kita lihat lagi hasil siasatan itu. Yang pasti, pihak polis perlu melaksanakan siasatan mereka mengikut akta kita.
“Mereka terikat dengan itu kerana golongan berkenaan berusia 18 tahun ke bawah,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau mengulas susulan penahanan enam remaja lelaki, termasuk tiga orang bawah umur pada 14 dan 15 Februari lalu selepas disyaki terlibat kegiatan berunsurkan ideologi kumpulan pengganas Daesh.
Suspek ditahan di sekitar Lembah Klang, Johor, Terengganu dan Kedah menerusi operasi khas Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).