fb fb fb fb fb

KPWKM teliti bantuan sukarelawan bantu JKM pada musim banjir

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Februari- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini sedang meneliti bentuk bantuan yang boleh diagihkan terutama kepada sukarelawan yang membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semasa musim banjir

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini memandangkan segala urusan semua penduduk terjejas bencana di pusat pemindahan sementara (PPS) dibantu oleh petugas serta sukarelawan JKM.

"Bagi musim Monsun Timur Laut (MTL) 2022/2023, jumlah Bantuan Wang Ihsan (BWI) yang telah diagihkan adalah RM168.959 juta melibatkan 168,959 Ketua Isi Rumah (KIR). Manakala bagi Bantuan Wang Ihsan Kematian (BWI) pula sebanyak RM560,000 diagih kepada 56 waris mangsa," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff di Dewan Rakyat di sini.

Katanya, bagi persediaan awal, sejumlah RM232 juta telah diperuntuk kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk diagihkan kepada KIR mangsa bencana semasa yang terjejas.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM