PUTRAJAYA, 13 Mei- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), menyasarkan seramai 385 penjaga yang berkemahiran khusus kepada kanak-kanak, warga emas dan golongan berkeperluan khas pada tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia akan dilakukan menerusi program Pelan Tindakan Industri Penjagaan Di Malaysia.
Beliau berkata inisiatif yang bermula sejak 2018 itu berjaya mempunyai 655 penjaga terlatih.
"Sekiranya mereka memerlukan lebih ramai lagi akan kita bincang sebab kita melihat pihak swasta pun mahu terlibat.
“Kita juga ada Institut Sosial Malaysia (ISM) untuk mengajar pelatih kita bagi meningkatkan kemahiran dan akademik mereka sehingga memperoleh diploma. Pelatih ini perlu menduduki modul di bawah universiti.
“Ketika ini terdapat penjaga di rumah dan swata bagi kanak-kanak, orang tua dan golongan orang kurang upaya (OKU) namun dalam kalangan mereka masih ramai tidak cukup terlatih” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Pembangunan Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nancy dalam ucapannya berkata, KPWKM mahu memfokuskan untuk menjadikan penjagaan warga emas sebagai kerjaya profesional.
Jelas beliau pihaknya menyedari bahawa usaha memartabatkan industri penjagaan di Malaysia memerlukan sokongan pelbagai pihak.
“Justeru kita mengalu-alukan kerjasama strategik semua kementerian, jabatan, agensi, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengenal pasti keperluan penjagaan di pelbagai peringkat.
“Ia melibatkan dalam merangka polisi dan strategi yang komprehensif bersesuaian dengan kehendak pasaran serta keperluan penjagaan di masa hadapan,” ujarnya.