fb fb fb fb fb

KPWKM lancarkan portal eWARGA EMAS

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

PUTRAJAYA, 5 Oktober- Portal Sistem Warga Emas (eWARGA EMAS) dilancarkan bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan berkaitan warga emas khususnya di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, portal berkenaan dibangunkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertujuan membentuk sistem penyampaian perkhidmatan berkesan dan bersepadu.

Sistem berkenaan secara dasarnya dilihat akan mempertingkat produktiviti serta kecekapan agensi terlibat dalam merancang, menganalisis, mengurus dan memantau warga emas sebagai kumpulan sasar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

"Ianya membantu dalam pengurusan data dan perancangan dasar dan menyokong warga emas mendapatkan maklumat seperti peluang pekerjaan serta kemudahan yang berkaitan.

"Diharapkan semua inisiatif yang telah sedang dilaksanakan oleh kerajaan dapat melestari dan memperkukuhkan sistem penjagaan dan sokongan terhadap warga emas pada masa ini dan pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Warga Emas Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff, dan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) JKM, Rosmahwati Ishak.

Pada majlis sama, Noraini turut menyampaikan Anugerah Warga Emas Cemerlang Kategori Lelaki kepada Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.

Anugerah lain yang turut disampaikan termasuk Anugerah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Cemerlang, Anugerah Pertubuhan Sukarela Kebajikan Warga Emas Cemerlang dan Sijil Penghargaan Kami Prihatin Warga Emas.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI