KPWKM ambil langkah perlindungan kebajikan anak mangsa bunuh di Sri Aman

FOTO RTM

SRI AMAN, 15 Januari – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) segera mengambil langkah perlindungan serta kebajikan bagi memastikan nasib tiga anak pasangan suami isteri yang maut dipercayai dibunuh di Jalan Brayun, Taman Mutiara, di sini, terpelihara.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPWKM segera ambil langkah perlindungan dan kebajikan untuk tiga anak mangsa bagi memastikan nasib mereka terpelihara.
  • Pegawai pelindung jalankan lawatan awal, nilai keperluan kebajikan dan beri sokongan pemulihan emosi kepada anak-anak.
  • Anak kini dijaga keluarga terdekat; kementerian terangkan proses permohonan penjagaan sah melalui mahkamah dan bantuan JKM.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian menzahirkan rasa simpati mendalam terhadap tragedi mengejutkan itu, lebih-lebih lagi apabila mangsa meninggalkan dua anak remaja perempuan yang masih bersekolah menengah serta seorang anak lelaki di sekolah rendah.

Menurut beliau, pegawai pelindung telah menjalankan lawatan awal dan pengumpulan maklumat bagi menilai keperluan kebajikan kanak-kanak terlibat, selain memberi tumpuan kepada sokongan pemulihan emosi supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih stabil.

“Seperti biasa, kita akan mengadakan lawatan dan pegawai pelindung telah mengambil maklumat berkaitan. Saya difahamkan anak-anak ini kini berada di bawah jagaan keluarga terdekat di sebelah ibu. Pada masa yang sama, kita turut memberikan sokongan psikososial dan insya-Allah akan melihat keperluan untuk membantu mereka melalui tabung di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Kuching.

Datuk Seri Nancy turut menjelaskan, penjagaan sementara kanak-kanak berkenaan dilaksanakan mengikut peraturan sedia ada memandangkan mereka kini dijaga oleh ahli keluarga terdekat.

Tambah beliau, pihak kementerian telah memaklumkan kepada penjaga mengenai proses permohonan penjagaan sah melalui mahkamah bagi memastikan status jagaan anak-anak tersebut terjamin serta dilindungi dari segi undang-undang.

Dalam kejadian pagi Rabu, pasangan suami isteri berusia 45 dan 44 tahun itu ditemukan tidak bernyawa dengan kesan kecederaan parah kira-kira pukul 6.55 pagi.