KUCHING, 30 Mei- Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Sarawak di Kota Samarahan menyasarkan pengambilan seramai 1,000 pelajar menjelang tahun 2028, sebagai usaha memperkukuhkan akses pendidikan tinggi di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengambilan bagi sesi September tahun ini dijangka melibatkan kira-kira 200 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau optimis bahawa jumlah pelajar akan terus meningkat kepada 500 orang pada tahun hadapan, selaras dengan keperluan pendidikan dan pembangunan bakat di Sarawak.
“Yang penting kursus-kursus yang ditawarkan ini mestilah bersesuaian dengan minat para pelajar. Kita tidak mahu berlaku ketidaksesuaian antara program dengan minat mereka.
"Justeru, kita juga perlu melihat kepada permintaan guna tenaga dan kejayaan pelajar dalam bidang yang diceburi,” katanya.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menambah, KPTM Sarawak akan berperanan sebagai feeder college kepada universiti-universiti di Sarawak dan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), bagi membolehkan para pelajar menyambung pengajian ke peringkat ijazah dan sarjana mengikut minat serta keperluan masing-masing.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Taklimat Mesyuarat Khas Pelaksanaan Program/Projek Pembangunan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Kuching hari ini.
Sementara itu, mengulas status pembinaan Kolej Profesional MARA di Kapit, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid memaklumkan ia kini berada pada peringkat penyediaan dokumen tender dan dijangka akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Langkah itu, katanya, adalah antara usaha kerajaan dalam memastikan peluang pendidikan berkualiti terus dinikmati oleh rakyat, khususnya anak-anak muda di kawasan pedalaman Sarawak.