
ALOR SETAR, 11 April – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersetuju menyuntik dana berjumlah RM1.2 juta bagi menjayakan inisiatif Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk merealisasikan program Dapur Siswa MADANI dengan memanfaatkan teknologi retort.
- Program Dapur Siswa MADANI tangani isu kelaparan, memperkasakan kemahiran mahasiswa, dan memupuk kerjasama universiti-industri serta peluang pekerjaan.
- Teknologi retort membenarkan memasak pukal dan pensterilan suhu tinggi; hidangan tahan hingga setahun tanpa pengawet, edar melalui model hab dan jejari.
- Inisiatif jadi platform latihan industri; sukarelawan dibayar melalui "on campus job", meningkatkan pengurusan, operasi teknikal dan kebolehpasaran graduan.
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof Dr Azlinda Azman berkata program yang direka secara holistik itu bukan sahaja bertujuan menangani isu kelaparan di kampus, tetapi juga berfungsi sebagai ekosistem inovatif bagi memperkasakan kemahiran mahasiswa, memupuk kerjasama universiti-industri serta memberi peluang pekerjaan kepada mahasiswa dan komuniti setempat.
Beliau yang melawat ke dapur berpusat di inapan siswa (Inasis) Proton UUM Sintok, hari ini turut melahirkan rasa kagum dengan program itu dan menyerahkan cek berjumlah RM324,000 bagi fasa pertama pelaksanaan.
Sementara itu, Naib Canselor UUM Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed menerusi kenyataan berkata keunikan utama Dapur Siswa MADANI UUM itu adalah pada penggunaan teknologi retort.
“Makanan akan dimasak secara pukal di dapur pusat (hab) dan melalui proses pensterilan suhu tinggi yang membolehkan hidangan bertahan hingga satu tahun tanpa bahan pengawetan. Makanan ini kemudiannya diedarkan ke Dapur Satelit di kolej-kolej kediaman melalui model “Hab dan Jejari”.
“Di sini, pelajar hanya perlu memanaskan hidangan menggunakan ketuhar gelombang mikro atau alat pengukus sebelum makanan boleh dinikmati secara panas, selain dapat menjimatkan kos logistik dan masa,” katanya.
Beliau berkata dengan cara itu, mahasiswa di UUM khususnya pelajar daripada kumpulan B40 tidak akan berlapar dan sukarelawan siswa yang membantu juga akan dibayar melalui cara “on campus job” (OCJ).
“Dapur Siswa MADANI ini diangkat sebagai platform latihan industri iaitu pelajar diberi peluang mengendalikan operasi teknikal, pengurusan logistik serta memastikan piawaian halal dipatuhi. Pengalaman praktikal ini dapat meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan,” katanya.
Pengetua INASIS Proton Dr Mohd Abidzar Zainol Abidin yang juga penyelaras Dapur Siswa MADANI berkata model pembiayaan hibrid telah diwujudkan dengan menggabungkan peruntukan KPT, universiti, sumbangan sektor korporat dan caruman sukarela daripada warga kerja universiti sendiri.
“Semangat ‘Kampus Kita, Tanggungjawab Bersama’ ini menjadi tunjang kepada kejayaan program ini. Dapur Siswa MADANI ini membuktikan bahawa kebajikan dan pendidikan boleh bergerak seiring sekali gus berpotensi menjadi model rujukan untuk universiti di peringkat global,” katanya. – BERNAMA