fb fb fb fb fb

KPT, MINDEF akan bekerjasama mengatasi kes buli

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 November- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk mengatasi kes buli di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

KPT dalam satu kenyataan memaklumkan, kementerian itu memandang serius terhadap kes berkenaan termasuk yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

"Bagi memastikan keselamatan pelajar di kampus terjamin dan insiden tidak berulang, KPT akan mengadakan perbincangan komprehensif bersama Kementerian Pertahanan termasuk mengkaji semula dasar sedia ada untuk memperbaiki sistem disiplin dan prosedur bagi menangani salah laku buli dengan lebih cekap.

"Selain itu, kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan akan dijalankan jika terdapat sebarang pelanggaran serius yang melibatkan undang-undang negara," menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, KPT turut berharap agar warga IPT menjadi 'mata dan telinga' untuk melaporkan kepada pihak berkaitan sekiranya terdapat kes salah laku.

KPT memberi amaran tegas kepada semua warga IPT untuk tidak melindungi atau terlibat dengan isu tersebut.

Selain itu kementerian juga tidak akan berkompromi dan akan mengenakan tindakan tegas kepada mana-mana individu sekiranya didapati bersalah.

Sebelum ini media melaporkan seorang penuntut tahun satu ALK, UPNM disyaki cedera parah dengan keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior dalam kejadian pada 21 Oktober.

Kejadian itu berlaku sehari sebelum kejadian membabitkan seorang pelajar ditekap menggunakan seterika di bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur.

Bagaimanapun KPT menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan memberi kerjasama penuh untuk tindakan lanjut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI